Cara yang pertama adalah Rasulullah selalu bangun sebelum Subuh bagi melaksanakan solat sunat, solat fadhu dan solat subuh secara berjemaah. Kelebihannya bukan sahaja kita boleh mendapat ganjaran pahala bahkan dapat juga menghirup udara subuh yang segar dan nyaman dan ianya juga baik terutama untuk merawat penyakit tibi serta memperkuatkan akal fikiran.
Berapa ramaikah dikalangan kita pada hari ini yang selalu bangun sebelum Subuh? Mungkin ada.. tapi kebanyakannya bangun mungkin untuk menonton perlawanan bola sepak ataupun bangun sebab terasa hendak buang air kecil.. Dan bila dah menonton TV sampai ke pagi.. tentulah liat untuk bangun awal dan kadangkala subuh pun terlepas. Tak salah untuk menonton perlawanan bola sepak, tapi, jangan sampai kita tak boleh bangun semasa subuh nanti dan alang-alang dah bangun tu apa salahnya kita tunaikan solat-solat sunat ataupun bertahajjud. Semoga selepas ini, kita sama-sama cuba untuk bangun lebih awal supaya kita bukan sahaja mendapat pahala solat subuh berjemaah tetapi juga dapat menyihatkan tubuh badan kita.
2. Aktif menjaga kebersihan
Cara yang kedua adalah menjaga kebersihan. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: "Kebersihan itu sebahagian daripada Iman". Rasulullah SAW adalah orang yang sentiasa bersih dan rapi. Setiap Khamis atau Jumaat, baginda akan mencuci rambut halus di pipi, memotong kuku, bersikat serta memakai minyak wangi.
Persekitaran yang tidak bersih boleh membawa pelbagai penyakit. Begitu juga jika kita tidak menjaga kebersihan diri, orang lain bukan sahaja tidak senang untuk bergaul dengan kita malahan penyakit juga akan mudah hinggap di tubuh kita. Sesungguhnya, apabila kita menjaga kebersihan, tidak kira kebersihan diri mahupun persekitaran, secara tidak langsung ianya akan membantu menyihatkan diri kita.
3. Tidak pernah makan berlebihan
Cara yang ketiga Nabi menjaga kesihatan dirinya adalah dengan tidak makan berlebihan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:"Kami adalah satu kaum yang tidak makan sebelum lapar dan apabila kami makan tidak terlalu banyak (tidak sampai kekenyangan) - (Muttafaq 'Alaih)". Atau dengan bahasa mudahnya, makanlah ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang. Hal ini kerana, apabila perut kita kekenyangan, kita mungkin akan menjadi malas untuk membuat kerja atau melakukan ibadat. Mata pulak semakin berat dan akhirnya kita tertidur dalam kekenyangan.
Oleh sebab itulah Rasulullah SAW menasihatkan kita supaya berhenti makan sebelum kekenyangan. Bahkan ada satu pendidikan khusus bagi umat Islam iaitu dengan berpuasa pada bulan Ramadhan bagi menyeimbangkan kesihatan selain Nabi sendiri selalu berpuasa sunat.
4. Gemar berjalan kaki
Baginda juga menjaga kesihatan dengan gemar berjalan kaki. Rasulullah SAW berjalan kaki ke masjid, pasar, medan jihad mahupun apabila mengunjungi rumah para sahabat. Faedah daripada berjalan kaki adalah apabila kita berjalan kaki, peluh pasti mengalir, roma terbuka dan peredaran darah akan berjalan dengan lancar. Selain itu, berjalan kaki juga boleh mencegah kita daripada mendapat penyakit jantung.
Sebaliknya kita pada hari ini lebih gemar menaiki kenderaan daripada berjalan kaki. Bahkan nak menunaikan solat jumaat atau jemaah di masjid pun menaiki kenderaan walhal masjid tersebut letaknya beberapa meter sahaja dari rumah kita. Tahukah kita bahawa jika kita berjalan kaki ke masjid untuk menunaikan solat jumaat pahalanya adalah bersamaan kita berpuasa dan Qiyamullail selama setahun.. Subhanallah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barangsiapa mandi pada hari Jum’at, berangkat lebih awal (ke masjid), berjalan kaki dan tidak berkendaraan, mendekat kepada imam dan mendengarkan khutbahnya, dan tidak berbuat lagha (sia-sia), maka dari setiap langkah yang ditempuhnya dia akan mendapatkan pahala puasa dan qiyamulail setahun.” (HR. Abu Dawud no. 1077, al-Nasai no. 1364 Ahmad no. 15585. Dishahihkan oleh Al-Albani dalam Shahih al-Jami’, no. 6405)
5. Tidak pemarah
Cara yang seterusnya adalah Nabi SAW menasihatkan kita supaya tidak pemarah. Daripada Abu Hurairah r.a bahawa seorang lelaki telah meminta nasihat daripada Nabi s.a.w. dengan katanya; Berilah nasihat kepada saya, Baginda berkata: jangan kamu marah, lalu diulangi beberapa kali, baginda menjawab; jangan kamu marah”, Hadis riwayat al-Bukhari. Ini menujukkan hakikat kesihatan dan kekuatan Muslim bukanlah terletak pada jasad tetapi lebih kepada kebersihan jiwa.
6. Optimis dan tidak putus asa
Cara yang ke enam adalah sentiasa optimis dan tidak putus asa. Sikap optimis dapat memberikan kesan emosional yang mendalam bagi kelapangan jiwa selain perlu banyakkan bersabar, istiqamah, bekerja keras serta tawakal kepada Allah SWT.
7. Tidak pernah iri hati
Selain itu, Rasulullah juga mengajarkan kita supaya tidak iri hati. Apabila kita menjauhi sifat iri hati, ia akan dapat menjaga kestabilan hati dan kesihatan jiwa. Apabila hati kita baik dan jiwa kita tenang maka kesihatan kita juga tidak akan terganggu. Kita juga boleh mengamalkan doa seperti berikut: "Ya Allah, bersihkanlah hatiku daripada sifat-sifat mazmumah dan hiasilah diriku dengan sifat-sifat mahmudah".
8. Pemaaf
Dan cara yang terakhir sekali yang boleh dipraktikkan adalah bersikap pemaaf. Pemaaf akan memberi kesan kepada hati kita kerana sifat pemaaf akan dapat menteramkan hati dan jiwa kita daripada perasaan dendam dan benci serta membebaskan kita daripada dibelenggu perasaan marah. Akhirnya, dapatlah kita hidup dengan hati dan jiwa yang tenang di samping tubuh badan yang sihat.
Sesungguhnya, banyak lagi cara hidup sihat yang menjadi amalan Rasulullah SAW yang boleh kita amalkan dan ini adalah sebahagian daripadanya. Diharapkan, marilah kita sama-sama mencontohi dan meneladani segala amalan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kerana ini adalah sebahagian daripada sunnah baginda. Dan orang yang mengamalkan sunnah baginda sudah pastinyalah akan mendapat ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barangsiapa yang menghidupkan satu sunnah dari sunnah-sunnahku, kemudian diamalkan oleh manusia, maka dia akan mendapatkan (pahala) seperti pahala orang-orang yang mengamalkannya, dengan tidak mengurangi pahala mereka sedikit pun".
Wallahua'lam..
No comments:
Post a Comment